Jiwa penataan Jepun


Ketengah unsur alam, hiasan ringkas selain perabot pelbagai fungsi
GAYA penataan tradisi Jepun mengilhamkan suasana kediaman serba damai yang diterjemahkan menerusi hiasan dalaman serba ringkas selain warna alam. Dan, kalaupun warna terang dan dramatik digunakan, elemen berkenaan sekadar sisipan bagi menghindari persekitaran suram.

Warna hitam, misalnya dianggap membawa aura negatif kepada gaya penataan Inggeris walaupun ia sebaliknya mendapat tempat istimewa di kediaman berciri Oriental seperti Jepun. Namun, warna gelap ini diusulkan bersama putih serta krim.

Usaha menghidupkan gaya semula jadi pula ditentukan menerusi pemilihan warna monokrom yang diwujudkan tona gelap kayu padu, buluh, konkrit dan batu kerikil.

Andai ingin menyelami penataan hiasan dalaman Jepun, bolehlah menjengah ke Hidakagu Interior (HI) yang terletak di pusat beli-belah The Curves, Mutiara Damansara di Selangor.

“Kelengkapan rumah Jepun menitikberatkan keaslian rupa. Sebab itu, jika diteliti, kebanyakan spesies kayu dipilih menampilkan struktur jelas urat kayu seperti jenis ash, oak dan walnut.

“Selain dilihat mentah dan menepati kriteria perabot kediaman Jepun, warna serta lingkaran corak kayu itu sebenarnya menghubungkan jiwa pemiliknya dengan alam,” kata Pengurus dan Ketua Setiausaha HI, P Neela.

Selain menjadi sumber rujukan utama penggemar penataan Jepun, mereka yang mengunjungi HI juga dapat melihat sendiri pelbagai rekaan perabot atau disebut Kagu dalam bahasa Jepun, yang bercirikan negara matahari terbit itu.

“Di HI, kami menampilkan kehalusan kerja kraf masyarakat Jepun terutama di daerah Hida yang masyhur dengan seni pertukangan tangan,” katanya.

Perabot bercirikan ilham budaya Jepun itu dihasilkan kilang di Vietnam dengan menggunakan kayu terpilih dari Amerika Syarikat.
Meja sisi rekaan unik.

Neela berkata, perabot Jepun lazimnya berciri pelbagai fungsi, sesuai dimanfaatkan oleh penghuni kediaman kecil terutama kondominium dan pangsapuri.

“Sekali pandang, rekaan perabotnya nampak ringkas. Tetapi ia sebaliknya memiliki kelebihan dari segi cirinya pelbagai kegunaan. Peti kayu misalnya, selain menyimpan barang juga dijadikan meja kerja dan makan.

“Malah, aspek keselamatan paling difikirkan sewaktu merancang perabot menyebabkan rekaan tajam dan berbucu pada mana-mana bahagian pun. Selain menghindari kemalangan akibat terhantuk atau terlanggar bucunya, ia juga memastikan perabot tidak rosak apabila bergesel dengan objek keras,” katanya merujuk meja kopi berbucu fabrik yang direka boleh putar.

Selain perabot, pencahayaan juga ada peranannya dalam hiasan dalaman Jepun kerana kerana mencetuskan ragam persekitaran damai, romantik serta hangat. Ia mampu dinikmati melalui pilihan lampu berdiri, meja dan gantung dengan terendak kertas.

Pengadang serta pemidang antara elemen penting pembentukan gaya penataan Jepun. Selain berfungsi membahagikan ruang, kelengkapan tambahan ini mewakili budaya dan gaya hidup masyarakat tempatan menerusi lukisan mengetengahkan pemandangan, flora serta fauna.

“Pengadang dan pemidang sudah menjadi kemestian bagi kediaman Jepun. Ada beberapa bahan dan kemasan yang membentuknya, termasuklah jenis popular yang menggunakan kertas beras (rice paper), kertas surih dan rumput. Kayu pula dijadikan rangka pemidang atau pengadang,” katanya.

Neela berkata, kebanyakan perabot dan perhiasan Jepun menonjolkan gabungan warna alam dan kontemporari yang menjadi simbolik kepada suasana harmoni dan seimbang, ruang lapang serta selesa.

“Ia tidak janggal digayakan baik di kediaman serba moden bersama aliran gaya terkini,” katanya.

Info: Gaya penataan Jepun

# Warna hitam mendapat tempat istimewa di kediaman bercirikan Oriental seperti Jepun namun perlu digandingkan dengan putih atau krim.

* Usaha menghidupkan gaya semula jadi, ditentukan melalui pilihan warna monokrom sama ada menerusi tona gelap kayu padu, buluh, konkrit dan batu kerikil.

# Keaslian menjadi keutamaan kelengkapan rumah Jepun dan jenis kayu yang menampakkan struktur urat jelas seperti ash, oak dan walnut menjadi pilihan.

# Selain ringkas, perabot Jepun juga bersifat pelbagai guna yang sesuai dimanfaatkan penghuni kediaman seperti kondominium atau pangsapuri.

# Pencahayaan amat penting kerana menghidupkan persekitaran damai dan romantik.

# Pengadang serta pemidang tidak hanya berperanan membahagikan ruang, tetapi turut memaparkan gaya hidup masyarakat tempatan menerusi lukisan pemandangan, flora serta fauna yang menghiasi permukaannya. Ia yang dianggap satu kemestian, dihasilkan menerusi bahan seperti kertas beras, surih dan rumput air.


Sumber Berita Harian Online

Comments

Popular posts from this blog

Hebat Pak Bangla sehingga isteri sanggup berlaku curang

Kisah usahawan cili dari Tawau

Isteri durjana buat seks dengan lelaki lain