Diberi masa tahun depan, jika tiada..
MEMBACA print screen satu mesej dari WhatsApp pengakuan seorang isteri bakal diceraikan sekiranya masih tidak hamil memang buat VK beremosi. Sama ada mesej di bawah ini kisah benar atau rekaan untuk menarik orang membeli produk, yang pasti hati wanita akan panas dengan suami sebegini. Ramai juga yang mungkin sudah mengeji lelaki yang rasanya lupa diri. Dia lupa isteri hanya manusia biasa tiada kuasa untuk menentukan rezeki anak. Dia lupa bahawa kelahiran anak itu semuanya ketentuan Tuhan. Kalau membuat anak itu seperti menghasilkan origami, dah tentu berderet anak diberi untuk si suami. Masalahnya bukan semudah itu. Walau kita berusaha takkan ada si kecil yang didambakan itu jika Dia belum mengizinkan. Bila Dia belum mengizinkan sudah tentu ada hikmahnya. Mungkin juga kerana suami isteri ni belum bersedia. Boleh jadi belum bersedia dari kewangan, ilmu mahu pun kesabaran. Bagaimana hendak bersabar menjaga anak kalau dugaan sebelum punya anak pun tidak berjaya ditempuhi.