Dalam sejarah : PATI rampas tanah pekebun kecil di Tingkayu Kunak Sabah

Oleh: MUTALIB M.D

KEMENANGAN Merityield Sdn.Bhd di atas pertikaian hak milik tanah ke atas Double House Marketing Sdn.Bhd membuka dimensi baru berhubung isu Tingkayu Gate yang selama ini menjadi medan pertembungan dan perebutan antara Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad (SKPTTB) dan 171 Pekebun kecil yang mendapat Injunksi Mahkamah sejak 1 Februari 2008.

PANEL lima hakim, diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi, pada 21 Januari 2010 yang memutuskan bahawa hak milik pembeli tanah kini boleh disangkal jika terbukti wujud unsur-unsur penipuan dalam urusan pemindahan kepada pihak lain meskipun harta itu dibeli atas niat baik tentunya membuka satu lembaran baru dalam perkembangan undang-undang diMalaysia.

Keputusan itu sekaligus juga membuka cabaran baru dan harapan baru kepada pihak pembeli tanah yang berjaya memperolehi tanah melalui proses penipuan dan kepada pihak pemilik tanah yang menjadi mangsa mereka.

Bagaimanapun kemenangan Merityield Sdn.Bhd yang dimiliki oleh Lee Chee Pin dan Datuk Monggoh Orow mungkin menambah derita kepada pekebun kecil Tingkayu kerana Double House Marketing Sdn.Bhd yang diketuai Sugumar Balakrishnan dan ‘Orang Atas’ tidak akan berdiam diri.

Perbicaraan kes SK 22-217 Tahun 2006 yang melibatkan Merityield sebagai Plaintif menentang Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad (SKPTTB) selaku defendan pertama, Double House Marketing Sdn.Bhd selaku defendan kedua dan Messr Jeffrey Chu & Shirlin sebagai defendan ketiga.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi, Yew Jen Kie memutuskan bahawa Merityield Sdn.Bhd adalah pemilik sah tanah CL 245361951 dan mengarahkan ketiga-tiga defendan mengembalikan geran hakmilik tanah kepada Plaintif; namun tidak menyentuh hak dan kedudukan 171 pekebun kecil yang berada dan mengusahakan tanah berkenaan sejak 1970-an lagi.

Bagaimanapun, pada hemat saya, keputusan Mahkamah Tinggi Sandakan tidak langsung memberi kesan kepada 171 Pekebun Kecil yang mendapat perintah Mahkamah kerana Merityield Sdn.Bhd secara sedar telah menyalahguna proses mahkamah apabila tidak menamakan 171 pekebun kecil yang mendapat injunksi sebagai salah satu defendan; sedangkan mereka tahu dan menyedari bahawa pekebun kecil mempunyai kepentingan kerana mengusahakan tanah yang menjadi perebutan tersebut dengan tanaman komersil.

Kemenangan Merityield ini bagaikan Pak Kadok, menang sorak tetapi kampung tergadai kerana mereka tidak boleh memasuki tanah bergeran di Tingkayu melainkan mereka memfailkan satu lagi kes menentang para pekebun kecil dan sudah tentunya memakan masa yang agak lama untuk mendapat keputusan mahkamah.

Setelah mereka menang, barulah Merityield boleh memasuki tanah berkenaan. Namun dalam perkembangan terbaru, belum ada kepastian disebabkan kes yang dimenangi syarikat tertentu boleh dirayu sekalipun telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan; apatah lagi majoriti pekebun kecil dilindungi hak Customary Right.

Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan (Federal Court) yang merupakan Mahkamah tertinggi di Malaysia berhubung kes Adorna Properties Sdn Bhd v Boonsom Boonyanit amat penting sekali (landmark decision) kepada rakyat Sabah yang selama ini ditindas secara tidak sengaja melalui manipulasi undang-undang; sudah tentu sekali akan memberikan impak yang positif secara langsung ataupun tidak langsung.

Selama ini, kedudukan undang-undang yang terpakai di Malaysia sejak dari 2000 sehingga semalam 21 Januari 2010, adalah hak ‘pemilik berdaftar’ atau ‘registered owner’ bagi sesuatu hakmilik hartanah adalah tidak dilindungi sepenuhnya jika hakmilik tersebut telah bertukar milik kepada pihak lain dengan secara tanpa disedari (melalui secara tipuan atau fraud), dengan syarat bahawa ‘pemilik baru’ atau pembeli ini telah mendapatkan hakmilik tersebut dengan secara ‘suci hati‘ (bona fide) beserta balasan (with value).

Maksud “suci hati” dan “beserta balasan” tadi adalah pihak terakhir (Pemilik Baru) yang tidak tahu secara suci hati (bona fide) bahawa transaksi yang dibuat olehnya adalah diperolehi secara tipuan (oleh pihak yang tidak bertanggung jawab), dan beliau telah membayar dengan nilai wang bagi transaksi tersebut.

Secara tamsilannya, jika Hassnar Ebrahim (Pemilik Asal) mempunyai sekeping tanah di atas namanya sendiri dan memiliki dokumen Suratan Hakmilik (Geran) di atas namanya.

Tanpa pengetahuannya, ada pihak ketiga (seorang yang menipu) yang mempunyai nama yang sama dengannya (iaitu orang yang menyamar sebagai Hassnar Ebrahim atau orang yang memalsukan tandatangan Pemilik Asal); membuat permohonan untuk mendapatkan Geran yang baru dari pihak Pejabat Tanah berkaitan dan pihak Pejabat Tanah kemudiannya mengeluarkan Suratan Hakmilik (Geran) yang baru kepada pihak ketiga yang menipu tadi.

Pihak ketiga itu kemudiannya menjual atau melupuskan hartanah tadi kepada pihak lain (pembeli yang suci hati) dengan suatu balasan harga, contohnya, RM50,000, maka Hassnar Ebrahim yang sebenar tadi (Pemilik Asal) tidak berhak dari segi undang-undang untuk menuntut kembali hartanah itu serta tidak berhak untuk menuntut walau sesen pun daripada pembeli yang baru tadi. Ini adalah kedudukan undang-undang (position of law) sebelum ini.

Oleh kerana itu, hak pemilik tanah yang sebenar tidak dilindungi sebelum ini kerana jika hartanah pemilik asal dijual oleh pihak lain, secara tipuan (fraudulent act) dan/atau melalui instrumen palsu (forged instrument) dan pemilik sedar bahawa hartanahnya sudah dijual tanpa pengetahuan; selaku pemilik sebenar tidak berhak untuk menuntut kembali hartanah tadi. Sebaliknya penipu yang sebenar telah lari atau tidak dapat dikesan bersama-sama wang hasil jualan hartanah berkenaan.

Tafsiran ‘hak pembeli baru yang suci hati dan membeli dengan nilai harga’ mengatasi ‘hak pemilik berdaftar’ yang teraniaya dan kedudukan undang-undang di Malaysia ini terpakai semenjak dari tahun 2000 sehinggalah kes Adorna Properties Sdn Bhd v Boonsom Boonyanit [2000] (‘Adorna Properties’).

Dalam kes ini, Adorna selaku pemaju mendapat hak eksklusif atas hartanah yang dibeli daripada seorang yang menyamar sebagai Boonsom Boonyanit sehingga Boonsom Boonyanit yang sebenar gagal mendapat apa-apa hak ke atas Hartanah tersebut.

Oleh kerana keputusan kes Adorna ini diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun 2000, maka keputusan ini telah menjadi satu legal authority atau precedent yang mengikat (binding) kepada semua mahkamah di Malaysia sehinggalah 21 Januari 2010. Prinsip Adorna ini hanya boleh ‘diperbetulkan’ melalui keputusan lain oleh Mahkamah Persekutuan sahaja.

Keputusan terbaru yang dibuat lima panel hakim Mahkamah Persekutuan telah secara sebulat suara (unanimously) memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini di dalam kes Adorna Properties adalah salah dari segi undang-undang (erred in law) kerana kes itu tidak mengguna pakai prinsip ‘ketidakboleh sangkal’ hak pemilik (immediate indefeasibility) yang terkandung di dalam Seksyen 340(3) Kanun Tanah Negara. Kes ini sebaliknya mengiktiraf prinsip “deferred indefeasibility” yang lebih melindungi pemilik yang baru.

Keputusan kes terbaru yang disampaikan oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ariffin Zakaria yang memutuskan bahawa Mahkamah Persekutuan tidak bersetuju dengan keputusan Tun Eusoff Chin di dalam Adorna Properties sebelum ini.

Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang juga merupakan salah seorang panel di dalam kes terbaru ini telah tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini dalam kes Adorna yang menyifatkan keputusan kes Adorna sebagai “nyata salah dan tergesa-gesa” (obvious and blatant).

Tun Zaki juga menegaskan bahawa kesan dari keputusan kes Adorna sebelum ini (sejak dari tahun 2000), banyak pihak yang tidak bertanggung jawab telah memanipulasi kedudukan kes itu dengan membuat pindahmilik secara tipuan.

Kesimpulannya, kes terbaru yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan tadi adalah merupakan kes utama (landmark case) yang telah menyemak semula (revisited) prinsip undang-undang yang dipakai di dalam kes Adorna Properties dan telah mengubah semula kedudukan dan prinsip undang-undang berkaitan ‘ketidakboleh sangkalan hak” (indefeasibility of title) menurut peruntukan Kanun Tanah Negara yang terpakai sejak hampir 10 tahun yang lalu.

Keputusan kes Adorna pada tahun 2000 lalu sebenarnya telah mendapat pelbagai reaksi yang tidak bersetuju dengan prinsip kes tersebut sehingga kedudukan undang-undang selepas keputusan kes 2010 ini adalah jelas bahawa Pemilik Asal mempunyai ‘hak yang tidak boleh disangkal‘ (indefeasibility of title) dan dengan itu, Pemilik Asal hartanah adalah berhak untuk mendapatkan kembali (restitution) hartanah tersebut dan haknya tadi adalah terpelihara.

Berbalik kepada perbicaraan antara Merityield Sdn.Bhd menentang Double House Marketing Sdn.Bhd dan dua yang lain mendedahkan banyak maksud yang tersirat yang belum terungkap selama ini terutama kegagalan SKPTTB menentang tuntutan Merityield Sdn.Bhd dan kehadiran mereka di tanah Pekebun Kecil Tingkayu adalah sebagai ‘Penceroboh’ dan ‘Haram’ kerana hak mereka ke atas tanah tersebut telah dilucutkan apabila menjual tanah berkenaan kepada Merityield Sdn.Bhd.

Persoalannya, siapa yang membenarkan mereka (SKPTTB) memasuki Tanah Pekebun Kecil Tingkayu dan melakukan rompakan di siang hari sehingga menyebabkan berlakunya Skandal Tingkayu Gate yang berakhir dengan kehilangan jiwa, cedera parah dan masih ramai berada di penjara kerana gagal membayar jaminan atas tuduhan yang ‘direkacipta’ oleh pihak tertentu sehingga memperdaya polis melakukan tangkapan dan penyalahgunaan kuasa.

Siapa yang mendalangi Pengerusi SKPTTB, Hajjah Alina Haji Usman Suing muncul di kaca TV3 menjawab dakwaan para pekebun kecil dengan kenyataan palsu dan memperdayakan sehingga Pesuruhjaya Polis Sabah membuat kenyataan akhbar yang menghina mahkamah, bahawa SKPTTB adalah pemilik tanah berkenaan?

Siapa yang melindungi seorang samseng jalanan, Alimuddin Mohd Ajay yang bebas melakukan segala bentuk kejahatan di Tingkayu tanpa sebarang tindakan polis yang ditugaskan menjaga keamanan di Kunak; sekalipun lebih 100 laporan polis telah dibuat berhubung kejadian jenayah yang dilakukan oleh Alimuddin dan kumpulannya?

Keputusan mahkamah ini juga membuktikan bahawa Polis Di Raja Malaysia (PDRM) juga melakukan jenayah menghina mahkamah kerana gagal menguatkuasa Injunksi yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Clement Skinner bagi Kes T (21) 4 Tahun 2008 pada 1 Februari 2008 yang berbunyi;

“Adalah dengan ini Plaintif (Pekebun Kecil) diberi Injunksi untuk mencegah Defendan Pertama (Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad) sama ada bagi pihak mereka sendiri, kakitangan, pekerja atau agen atau sesiapa sahaja daripada menghalang Plaintif memasuki atau keluar daripada tanah tersebut dan menuai tanaman mereka di situ dan atau Defendan Pertama daripada meminta, mengambil atau menerima milikan kosong tanah tersebut yang kononnya diberi kepada Defendan Pertama di bawah geran CL 245361951 sehingga pembicaraan tindakan ini atau perintah lanjut oleh Mahkamah ini.”

Mengulas tindakan tidak professional PDRM, Peguam Kanan yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Haji Ansari Abdullah menggesa Kerajaan Malaysia menubuhkan segera Suruhanjaya Polis bagi memantau kegiatan polis yang menyalahguna kedudukan dan kuasa mereka sehingga menyebabkan berlakunya kegiatan jenayah.

“Kita memerlukan sebuah badan bebas untuk memantau polis, sama seperti Suruhanjaya Kehakiman," tegas Ansari yang melahirkan rasa kesal kerana Pesuruhjaya Polis Sabah tidak memahami Akta Polis 1967 sehingga mendorong berlakunya kejadian berdarah di Tingkayu tahun lalu.

Menurut Ansari, polis tidak takut melakukan kesalahan atau bersubahat dengan penjenayah kerana mereka hanya akan diadili oleh pegawai kanan mereka sendiri.

Sehubungan itu kata Ansari, integriti polis hendaklah ditingkatkan dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja ataupun Suruhanjaya Polis agar polis tidak lagi 'bersultan di mata dan beraja di hati'.

Kata Ansari, polis Sabah telah gagal menjalankan tugas untuk menguatkuasa undang-undang dan melindungi orang awam daripada sebarang ancaman.

Ansari menegaskan, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim sebelum ini berkata, sisatan mendapati para pekerja (SKPTTB) ladang itu hanya membenarkan orang-orang yang nama mereka tersenarai dalam perintah mahkamah itu sahaja masuk dan mendakwa sebahagian daripada mereka dalam kumpulan itu tidak tersenarai. Para pekerja itu mendakwa, mereka terpaksa menghalang orang luar daripada masuk.

"Jika polis tidak mahu campur tangan, adalah lebih baik jangan campur sama sekali. Tetapi kenapa mereka pilih untuk membantu koperasi (SKPTTB) sedangkan pekebun kecil yang mendapat perintah mahkamah diketepikan," kata Ansari yang menggesa agar Ketua Polis Negara menghantar semua Pesuruhjaya Polis dan pegawai kanan polis mengikuti kursus intensif memahami Akta Polis 1967 sebelum dibolehkan memegang jawatan.

Ansari kesal kerana Pesuruhjaya Polis Sabah mempertikai Injunksi Mahkamah yang hanya menyatakan bahawa hanya 171 nama pekebun kecil sahaja yang dibenarkan masuk menyelenggara kebun dan menuai hasil mereka.

"Tetapi Injunksi Mahkamah telah menyebut secara jelas bahawa plaintif atau pekerja atau agen mereka dibenarkan masuk menuai buah dan bukan operasi yang menentukan siapa yang boleh masuk atau siapa yang tidak. Mereka (SKPTTB) tidak boleh berada di tanah berkenaan atau mendakwa tanah tersebut milik mereka sebelum diputuskan oleh mahkamah," ujar Ansari yang menegaskan sikap berat sebelah dan mempunyai kepentingan peribadi menyebabkan polis tidak boleh berlaku adil.

Kata Ansari lagi, kebanyakan pekebun kecil berusia 30-an hingga 70-an. Apa polis fikir orang setua 70-an boleh menuai buah? Seharusnyalah mereka menggaji pekerja untuk membantu mereka.

"Undang-undang haruslah ditafsirkan secara bijaksana dan lazimnya dan bukannya bererti hanya mereka yang dinyatakan namanya sahaja yang boleh masuk ke kebun mereka," jelas Ansari yang memberitahu bahawa Injunksi yang diluluskan oleh Hakim Datuk Clement Skinner pada 2 Februari 2008 masih berkuatkuasa sehingga kini dan tidak pernah dibatalkan.

Katanya, para pekebun kecil itu telah membuat banyak laporan polis, memohon pengiring untuk memasuki ladang itu kerana khuatir akan keselamatan mereka tetapi mendakwa polis tidak mahu melayan mereka.

“Anakguam kami menerima surat daripada Pesuruhjaya Polis, menyatakan ini merupakan kes sivil dan polis tidak mahu terlibat. Ini bertentangan dengan Akta Polis (Seksyen 20, sub-seksyen 3(f), 1967 yang jelas menyatakan bahawa adalah menjadi tugas polis untuk menguatkuasa perintah berkaitan mahkamah seperti saman, subpoena, waran dan perintah tahanan penjara," tegas Ansari yang menyifatkan Pesuruhjaya polis Sabah bersikap doube-standard .

Jika polis telah menunaikan tanggungjawab mereka, kata Ansari, kejadian pertumpahan darah ini mungkin tidak berlaku dan beliau telah menerima arahan daripada anggota keluarga mangsa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang bertanggungjawab, termasuk polis dan SKPTTB, atas kehilangan nyawa Saipon Kayabo.

Jelas Ansari, tanah berkenaan telah dijual kepada Merityield Sdn.Bhd pada 12 Januari 2001 dengan harga RM300 seekar dan dijual sekali lagi kepada sebuah syarikat, Double House Marketing Sdn. Bhd pada 18 Mei 2004 dengan harga RM1,000 seekar dan SKPTTB tidak lagi memiliki hak untuk masuk atau berada di kawasan atau menghampiri tanah berkenaan.

Persoalan yang merumitkan sekarang ialah wajarkah perbicaraan antara 171 Pekebun Kecil yang mendapat perintah Injunksi dengan SKPTTB diteruskan pada Jun 2010 sedangkan Mahkamah Tinggi Sandakan telah memutuskan bahawa SKPTTB telah lucut hak apabila mereka menjualkan tanah berkenaan kepada Merityield Sdn.Bhd dengan harga RM300 seekar pada 12 Januari 2001?.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Sabah mungkin terpaksa memberi tanah yang lain kepada Merityield Sdn.Bhd sekiranya pekebun kecil enggan menerima tawaran pampasan yang ditawarkan Merityield sejumlah RM300 seekar kerana tanah yang telah ditanami kelapa sawit oleh para pekebun kecil berkenaan bernilai RM8,000 sehingga RM10,000 seekar.

Comments

Popular posts from this blog

Hebat Pak Bangla sehingga isteri sanggup berlaku curang

Kisah usahawan cili dari Tawau

Isteri durjana buat seks dengan lelaki lain